Tips Untuk Berjaya Temuduga (Interview) Pekerjaan Anda Mahu

Tips Untuk Berjaya Temuduga Interview Pekerjaan Anda Mahu Dr Muhamad Hariz Adnan

Kali ini saya kongsikan Tips Ringkas Untuk Berjaya Temuduga (Interview) Pekerjaan Yang Anda Mahu.

Tips ini adalah berdasarkan pembelajaran saya mengikuti pelbagai kursus dan pengalaman sendiri berkaitan temuduga.

Susah atau senang untuk dapat kerja zaman sekarang? Jawapannya bagi saya susah. Saya pernah menghantar berpuluh permohonan kerja SEHARI di Jobstreet suatu ketika dulu apabila syarikat di mana saya bekerja terpaksa tutup disebabkan masalah kewangan. Sehinggakan Jobstreet tidak lagi membenarkan saya menghantar permohonan.

Tetapi yang peliknya, kawan baik saya pergi ke karnival kerjaya dan membawa resume saya sekadar untuk membantu. Kemudian, dia meninggalkan resume saya kepada sebuah syarikat milik Jepun. Kemudian, saya dipanggil interview dan beroleh kerja. Itulah rezeki, tidak dapat dijangka dari mana pintunya.

Apa yang saya nak kongsikan ialah pengalaman saya menghadiri temuduga.

Perkara pertama yang perlu diingati sebelum¬† meminta pekerjaan ialah, permohonan kita pasti akan ditolak oleh sesetengah syarikat. Jadi, bersedia untuk di tolak dan jangan jadikan ia punca untuk hilang semangat. “Job hunting is a number game”.

Perkara kedua ialah jika anda menghadiri temuduga tanpa sebarang persediaan, saya jamin besar kemungkinan anda akan ditolak. Antara perkara yang perlu disediakan ialah:

1. Print 5 salinan resume atau lebih. Kerana ada kemungkinan penemuduga lebih dari dua atau tiga orang.

2. Kaji dahulu syarikat tersebut. Latar belakang, produk/servis, halatuju dan lain-lain. Kemudian sediakan jawapan kenapa anda mahu kerja di syarikat tersebut. Jawapan mestilah berkaitan dengan sejarah dan halatuju syarikat atau produk/servis dan sebagainya. Kemudian, tambah dengan minat anda untuk bekerja di sana.

3. Cuba kenalpasti siapa penemuduga melalui LinkedIn syarikat. Lihat dari LinkedIn orang-orang yang bekerja di sana. Cuba cari persamaan supaya semasa interview, anda dapat membina keserasian dengan penemuduga semasa 15 minit pertama.

4. Berlatih, berlatih dan berlatih. Cuba jawab soalan-soalan biasa temuduga.

Contoh Soalan Temuduga dan Jawapan (soalan lazim interview)

Faktor lain yang penting antaranya perlu beradab dengan penemuduga. Kadangkala pemohon tidak diterima bekerja kerana kurang kesesuaian dengan persekitaran tempat kerja dan dibimbangi akan memberikan kesan negatif kepada pekerja lain. Jadi, sentiasa beradab dan bersikap positif.

Kita perlu fikir kenangan yang manis sebelum masuk ke bilik temuduga. Supaya anda didalam mood yang gembira.

Semasa saya menghadiri temuduga di dua buah Universiti Awam jawatan pensyarah tetap, saya telah mengamalkan tips-tips ini.

Saya juga membawa kedua ibu bapa saya untuk bermalam bersama sehari sebelum temuduga berdekatan dengan lokasi temuduga. Kemudian, saya meminta doa kedua ibu bapa saya sebelum dan selepas menghadiri temuguda.

Syukur Alhamdulillah, saya ditawarkan jawatan tetap di kedua-dua universiti.

Di sini, lihat betapa pentingnya doa dari ibu bapa. Jika ibu bapa anda tidak dapat mendoakan anda, cuba dapatkan doa dari pasangan, orang soleh,  anak-anak yatim, malah haiwan yang anda beri makan juga. Banyakkan juga berdoa semasa bermusafir.

Segala yang baik dari Allah dan yang buruk dari kelemahan saya.

Sekian,

Dr. Muhamad Hariz Adnan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *