AI dalam Pendidikan di Malaysia (Teknologi & aplikasi)

AI dalam Pendidikan (Teknologi & Aplikasi)

Pengenalan

Perkembangan teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai AI (Artificial Intelligence) semakin pesat di seluruh dunia, termasuk juga di Malaysia. Jika kita lihat di Malaysia hari ini, teknologi AI semakin mendapat perhatian terutamanya dalam kalangan pendidik. Tetapi, persoalannya, bagaimana AI boleh membantu sektor pendidikan kita? Adakah teknologi ini benar-benar dapat mengubah cara kita mengajar dan belajar, atau adakah ia sekadar satu lagi inovasi yang akhirnya akan pudar begitu sahaja?

Di samping persoalan ini, kita juga perlu memahami pelbagai aplikasi AI yang sedang digunakan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi di Malaysia. Artikel ini akan mengupas teknologi dan aplikasi AI dalam pendidikan di Malaysia, serta melihat potensi masa depannya dalam membentuk landskap pendidikan yang lebih inovatif dan inklusif.

1. AI dalam Pendidikan: Revolusi atau Sekadar Fantasi?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, AI telah menjadi topik hangat dalam pendidikan. Ramai yang mengatakan bahawa teknologi ini boleh mengubah keseluruhan ekosistem pembelajaran, tetapi adakah ini realiti di Malaysia? Pada pandangan penulis, AI dalam pendidikan di Malaysia masih dalam fasa yang awal. Namun, beberapa aplikasi yang menggunakan AI yang sudah mula diterima oleh sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Namun, ada beberapa cabaran yang perlu diatasi seperti keperluan untuk menyediakan infrastruktur AI yang lebih baik, melatih guru dan pendidik, dan menangani isu-isu privasi data.

2. AI dalam Pendidikan (Teknologi & Aplikasi) di Malaysia

Penggunaan AI dalam pendidikan di Malaysia di lihat semakin meluas, dengan pelbagai aplikasi teknologi yang digunakan untuk memperkasakan guru, pendidik dan pelajar. Berikut adalah beberapa contoh aplikasi AI yang sedang digunakan di sekolah dan universiti:

2.1. Pembelajaran adaptif

Dengan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), pembelajaran adaptif membolehkan pengalaman pembelajaran yang lebih peribadi dan mungkin berkesan bagi setiap pelajar.

Apa itu Pembelajaran Adaptif?

Pembelajaran adaptif merujuk kepada penggunaan algoritma AI untuk menyesuaikan kandungan pembelajaran berdasarkan kemampuan dan keperluan individu pelajar. Ini bermakna setiap pelajar dapat belajar mengikut rentak dan tahap pemahaman mereka sendiri.

Kelebihan Pembelajaran Adaptif

Pembelajaran adaptif membolehkan setiap pelajar menerima pengalaman pembelajaran yang disesuaikan dengan keperluan mereka. Dengan analisis data yang canggih, AI dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap individu, meningkatkan penglibatan pelajar dan membantu mereka mencapai hasil akademik yang lebih baik.

Peningkatan Motivasi

Dengan memberikan kandungan yang sesuai dengan tahap kemampuan pelajar, pembelajaran adaptif dapat meningkatkan motivasi mereka untuk belajar. Pelajar tidak akan merasa tertekan dengan soalan yang terlalu sukar atau bosan dengan soalan yang terlalu mudah.

Maklum Balas Segera

Sistem pembelajaran adaptif dapat memberikan maklum balas segera kepada pelajar mengenai prestasi mereka. Ini membolehkan mereka mengetahui di mana mereka perlu memperbaiki diri tanpa menunggu keputusan peperiksaan atau penilaian formal.

Intervensi Awal

Melalui analisis data, institusi pendidikan dapat mengenal pasti pelajar yang memerlukan intervensi awal sebelum masalah akademik menjadi lebih serius. Ini membantu dalam merancang sokongan tambahan untuk pelajar yang memerlukan.

Contoh Aplikasi Pembelajaran Adaptif di Malaysia

1. Smartjen

Platform ini menggunakan teknologi AI untuk menganalisis kemajuan pelajar dan menyesuaikan soalan latihan berdasarkan prestasi individu. Ini membolehkan pelajar belajar dengan cara yang lebih efektif.

2. Snapask

Aplikasi ini berfungsi sebagai tutor digital yang memberikan bantuan secara langsung kepada pelajar di luar waktu sekolah. Dengan menggunakan AI, Snapask menyediakan jawapan segera kepada soalan pelajar, membantu mereka mengatasi masalah pembelajaran dengan cepat 

3. Universiti Pendidikan Sultan Idris

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga menggunakan analisis data berasaskan AI untuk menilai prestasi akademik pelajarnya. Melalui pendekatan ini, pihak universiti dapat mengenal pasti hasil pembelajaran pelajar dan pensyarah dapat merancang kurikulum yang lebih responsif terhadap keperluan mereka 

2.2. AI Tutor

Teknologi AI juga digunakan dalam bentuk pembantu pengajaran virtual atau AI tutor yang membantu guru / pendidik dalam tugasan rutin seperti menilai kerja pelajar, menyediakan bahan pengajaran, dan memberi maklum balas secara automatik. Selain daripada itu, AI Tutor juga membantu sebagai penerang dan pengajar tambahan kepada pelajar seperti yang dilaksanakan oleh Dr Muhamad Hariz, pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

2.3.  Aplikasi Pembelajaran Bahasa AI

Pembelajaran bahasa sering kali menjadi cabaran kepada pelajar. Namun, dengan AI, proses ini menjadi lebih menarik dan interaktif. Di Malaysia, aplikasi pembelajaran bahasa berbantukan AI seperti Babbel atau Duolingo telah membantu pelajar mempelajari bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dengan lebih mudah. AI mampu menyesuaikan pelajaran berdasarkan tahap penguasaan bahasa pengguna dan memberikan maklum balas yang pantas.

2.4. Automasi Tugas Pentadbiran

AI juga dapat mengautomasi tugas-tugas pentadbiran rutin seperti menghasilkan kandungan, proforma, Rancangan Pengajaran Harian, video, penjadualan kelas dan pengurusan rekod pelajar. Ini membolehkan tenaga pengajar memberi tumpuan kepada pengajaran dan pembelajaran. Contoh yang paling popular ialah menggunakan Chat GPT untuk membantu tugas pentadbiran.

3. Adakah AI Akan Menggantikan Guru?

Satu soalan penting yang sering dibangkitkan ialah sama ada AI akan menggantikan peranan guru di bilik darjah? Pada pendapat penulis, tidak sama sekali. Walaupun AI boleh membantu dalam pelbagai aspek pengajaran seperti menilai kerja pelajar dan menyediakan maklum balas, ia masih tidak dapat menggantikan hubungan manusia yang penting antara guru dan pelajar.

Sejak dari zaman dahulu, manusia masih tidak mampu menghasilkan seekor nyamuk seperti nyamuk yang asli. Bagaimana manusia dapat mencipta AI yang mampu menggantikan seorang guru yang asli? Peranan guru bukan hanya sekadar menyampaikan maklumat tetapi melibatkan pembinaan karakter, memberikan motivasi, dan mendidik nilai moral kepada pelajar. AI mungkin mampu membantu dalam tugas teknikal, tetapi ia masih kekurangan kemampuan untuk memahami emosi dan keperluan individu pelajar.

Oleh itu, AI harus dilihat sebagai alat yang menyokong peranan guru, bukan sebagai pengganti. Dengan menggunakan AI, guru dapat memberi lebih fokus kepada aspek pengajaran yang memerlukan sentuhan manusia, manakala AI boleh menangani tugas-tugas yang lebih mekanikal.

4. Cabaran Penggunaan AI dalam Pendidikan di Malaysia

Walaupun AI menawarkan banyak peluang untuk meningkatkan pendidikan di Malaysia, terdapat beberapa cabaran yang perlu ditangani sebelum teknologi ini dapat digunakan sepenuhnya di setiap sekolah dan universiti. Antara cabaran utama termasuk:

Kekurangan Infrastruktur Teknologi
Banyak sekolah di kawasan luar bandar masih menghadapi masalah kekurangan akses kepada internet berkelajuan tinggi dan peranti teknologi yang sesuai. Ini menjadi halangan utama dalam mengintegrasikan AI ke dalam sistem pendidikan di kawasan-kawasan ini.

Latihan Guru
Bukan semua guru mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menggunakan teknologi AI dalam pengajaran. Latihan khusus perlu disediakan untuk memastikan guru-guru dapat memanfaatkan sepenuhnya potensi AI seperti yang dilaksanakan oleh Meta Solutions, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Privasi Data Pelajar
Penggunaan data pelajar untuk melatih algoritma AI menimbulkan kebimbangan tentang privasi. Data peribadi pelajar mesti dilindungi dengan baik untuk mengelakkan penyalahgunaan.

Namun begitu, kerajaan Malaysia telah mula mengambil langkah proaktif untuk menangani cabaran-cabaran ini, dengan pelaburan dalam infrastruktur pendidikan digital dan program latihan guru yang bertujuan memperkasakan mereka dengan kemahiran teknologi yang diperlukan.

Soalan Lazim (FAQ)

1. Apakah AI boleh membantu pelajar yang lemah?
Ya, dengan teknologi seperti sistem pembelajaran adaptif, AI boleh membantu pelajar yang lemah dengan menyesuaikan kandungan pengajaran mengikut tahap penguasaan mereka.

2. Adakah AI akan menggantikan guru di sekolah?
Tidak. AI lebih berperanan sebagai alat bantu pengajaran, bukan sebagai pengganti guru.

3. Apakah cabaran utama dalam menggunakan AI di sekolah-sekolah Malaysia?
Antara cabaran utama termasuk kekurangan infrastruktur teknologi di sekolah luar bandar, kekurangan latihan guru, dan isu privasi data pelajar.

4. Adakah Malaysia sudah mula menggunakan teknologi AI dalam pendidikan?
Ya, beberapa sekolah dan universiti di Malaysia telah mula menggunakan aplikasi AI seperti sistem pembelajaran adaptif dan Ai Tutor.

5. Bagaimana AI boleh membantu dalam pembelajaran bahasa?
AI mampu memberikan latihan bahasa yang interaktif dan disesuaikan, serta menyediakan maklum balas segera kepada pelajar, menjadikan pembelajaran bahasa lebih berkesan.

Kesimpulan

Penggunaan AI dalam pendidikan di Malaysia menunjukkan potensi besar untuk meningkatkan kualiti dan keberkesanan proses pembelajaran. Dari pembelajaran adaptif hingga automasi pentadbiran, teknologi ini menawarkan peluang baru bagi pendidik dan pelajar. Namun, penting untuk memastikan bahawa penerapan teknologi ini dilakukan secara beretika dan bertanggungjawab agar manfaatnya dapat dinikmati tanpa mengorbankan hak privasi individu. Dengan langkah-langkah yang tepat, Malaysia boleh menjadi contoh negara yang berjaya mengintegrasikan teknologi canggih ke dalam sistem pendidikannya demi masa depan generasi akan datang. Penulis berharap artikel “AI dalam Pendidikan (Teknologi & Aplikasi)” ini membantu pembaca memahami AI dengan lebih jelas.

Posts created 16

Related Posts

Begin typing your search term above and press enter to search. Press ESC to cancel.

Back To Top