Dalam artikel kali ini saya ingin kongsikan tentang kekalkan motivasi cabaran terbesar pelajar postgraduate.
Kita buat Master ataupun PhD selama 2 tahun sehingga 4 tahun. Ada yang terpaksa menghabiskan PhD dalam 7 tahun dan ada yang buat PhD sehingga 9 tahun. Bayangkan bagaimana mereka mengekalkan semangat dan motivasi untuk menghabiskan pelajaran?
Saya sendiri sewaktu belajar dahulu juga berasa tertekan, kurang semangat dan terasa jiwa ini kosong kerana melihat orang lain mempunyai pekerjaan, ada gaji yang tetap manakala saya masih lagi bergelut untuk belajar dan menghabiskan pelajaran.
Ini bukanlah cabaran yang mudah untuk dihadapi. Tidak semua orang boleh menghadapi dugaan sebagai pelajar postgraduate. Hanya insan-insan yang terpilih sahaja yang boleh mengekalkan motivasi dan menamatkan pelajaran.
Cara Kekalkan Motivasi
Antara nasihat saya yang terpenting ialah:
Rakan-rakan seperjuangan
Pelajar postgraduate perlu mempunyai rakan-rakan seperjuangan. Jangan sesekali belajar secara bersendiri (in silo). Carilah rakan yang kita boleh kongsi bersama-sama masalah, saling membantu dan memberi semangat serta motivasi apabila diperlukan.
Keluarga dan orang disayangi
Walaupun perjalanan postgraduate ini sukar dan pelajar mungkin berjauhan daripada pasangan, ahli keluarga dan ibu bapa, pelajar perlu sentiasa untuk berhubung dengan orang-orang yang disayangi. Ini supaya kita terus mendapat semangat dan motivasi. Mintalah doa daripada mereka setiap masa supaya pelajaran kita dimudahkan dan kita kekal bersemangat apabila menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran.
Rapatkan diri dengan tuhan
Sewaktu saya masih belum menamatkan PhD, saya sering ke masjid di waktu Subuh dan di waktu Isyak. Kelebihan yang pertama ialah mendapatkan kesegaran di awal pagi. Kelebihan yang kedua ialah untuk mendekatkan diri kepada Tuhan Kerana saya yakin apabila kita dekat dengan Tuhan dan kita letakkan Tuhan dekat di hati kita, pasti Tuhan akan membantu kita dalam pelajaran kita serta memudahkan kita untuk menimba ilmu pengetahuan.
Bantu dan gembirakan orang lain
Membantu orang lain dan membuatkan orang lain gembira boleh membuatkan kita juga merasa gembira. Dengan cara ini, pelajar dapat mengurangkan tekanan dan perasaan hilang semangat dengan membantu orang lain. Kita mendapat jaminan bahawa Tuhan akan membantu kita jika kita membantu orang lain melalui hadis berikut:
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu anhu , Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa yang melapangkan satu kesusahan dunia dari seorang Mukmin, maka Allâh melapangkan darinya satu kesusahan di hari Kiamat. Barangsiapa memudahkan (urusan) orang yang kesulitan (dalam masalah hutang), maka Allâh Azza wa Jalla memudahkan baginya (dari kesulitan) di dunia dan akhirat. Barangsiapa menutupi (aib) seorang Muslim, maka Allâh akan menutup (aib)nya di dunia dan akhirat. Allâh senantiasa menolong seorang hamba selama hamba tersebut menolong saudaranya. Barangsiapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu, maka Allâh akan mudahkan baginya jalan menuju Surga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allâh (masjid) untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya di antara mereka, melainkan ketenteraman akan turun atas mereka, rahmat meliputi mereka, Malaikat mengelilingi mereka, dan Allâh menyanjung mereka di tengah para Malaikat yang berada di sisi-Nya. Barangsiapa yang diperlambat oleh amalnya (dalam meraih derajat yang tinggi-red), maka garis keturunannya tidak bisa mempercepatnya.”
Berbuat baik dengan guru (supervisor)
Perkara lain yang boleh kita lakukan ialah berbuat baik dengan supervisor kita kerana merekalah guru-guru kita. Berbuat baik dan bersikap sopanlah dengan mereka, bantulah mereka jika mereka memerlukan bantuan dan Insyaallah mereka akan membantu kita balik apabila kita memerlukan bantuan mereka. Janganlah melawan dan dengarlah nasihat nasihat daripada guru. Terimalah ilmu yang mereka sampaikan dengan ikhlas kerana supervisor kita sebenarnya ingin melihat kita berjaya.
Dapatkan motivasi dari buku
Yang terakhir sekali, kuatkanlah mental kita dengan cara membaca buku-buku motivasi, mendengar ceramah ceramah motivasi dan mendengar nasihat nasihat daripada orang-orang yang beribawa dan bersesuaian. Contohnya, saya sering membaca buku daripada Dr Yusoff Alqardawi, Aid al-Qarni, video motivasi daripada Mufti Ismail Menk dan juga orang lain. Mereka banyak membantu saya untuk mengekalkan semangat supaya setiap hari saya dapat bangun untuk meneruskan pengajian dan cuba menghabiskan pengajian walau apa sekalipun cabaran yang mendatang.
Rumusan Kekalkan Motivasi Cabaran Terbesar Pelajar Postgraduate.
Percayalah rakan-rakan, selepas satu kesusahan pastinya datang kemudahan.
“Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahan, Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”(Surah al-Insyirah: 5-6)
Selepas beberapa tahun saya menghadapi kesukaran menamatkan Master dan PhD, sekarang Alhamdulillah akhirnya saya berjaya menamatkan PhD dalam tempoh 4.5 tahun. Sekarang saya berada di tempat yang lebih baik dan segala pengorbanan itu amatlah berbaloi. Nasihatkan saya kepada rakan-rakan, teruskanlah perjuangan kerana apa yang kita usahakan hari ini pasti akan dibalas oleh Allah jika kita ikhlas dalam menuntut ilmu.
Sekian sahaja perkongsian saya dalam artikel kali ini semoga pesanan ini memberi manfaat kepada rakan-rakan untuk menghabiskan perjuangan postgraduate rakan-rakan. Subscribe untuk dapatkan artikel terbaru di email: Subscribe